Jumaat, 20 Mei 2022 | 9:11pm
Superintendan Zaiham Mohd Kahar
Superintendan Zaiham Mohd Kahar

Guna duit kawan kemudian buat cerita disamun

BENTONG: Tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas menggunakan wang rakan, seorang wanita membuat laporan polis palsu mendak dia disamun pagi semalam.

Wanita tempatan berusia 28 tahun itu kemudian cuba menarik balik laporan yang dibuat tetapi polis kemudian membuat laporan polis terhadapnya menyebabkan dia disiasat mengikut Seksyen 182, Kanun Keseksaan kerana membuat aduan palsu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, wanita terbabit membuat laporan palsu bahawa beliau disamun oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada jam 8 pagi semalam di hadapan sebuah gerai menghala ke Desa Damai.

Wanita itu mendakwa, ketika hendak pulang ke rumahnya, setelah menghantar anaknya ke sekolah beliau telah ditahan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dan telah mengambil wang tunai sebanyak RM380 miliknya.

"Namun begitu, pada jam 7 malam, wanita terbabit datang semula ke balai polis untuk menarik balik laporan yang dibuat pagi itu.

"Bagaimanapun setelah disoal siasat wanita itu mengaku telah mereka cerita dia disamum kerana dia telah menggunakan duit rakannya," katanya.

Katanya jika didapati bersalah, wanita itu boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM 2000 atau keduanya sekali.

Berita Harian X