Jumaat, 20 Mei 2022 | 8:14pm

MP Labuan sekali lagi mohon batal pertuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli sekali lagi memohon untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan, bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang dihadapinya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman dalam kenyataan media, berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Mei lalu, atas alasan pertuduhan terhadap anak guamnya tiada merit atau asas dari segi fakta mahupun perundangan.

Muhammad Rafique berkata, pada tarikh sama (11 Mei) pihaknya juga memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, untuk dibicarakan.

"Pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurshafini Mustafha hari ini, mahkamah menetapkan 26 Mei untuk pengurusan kes bagi permohonan untuk membatalkan pertuduhan, sementara pengurusan kes bagi permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 23 Jun ini," katanya.

Pada 4 April lalu, Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan Rozman untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 27, 28 dan 29 Jun, 7 Julai, serta 11 dan 12 Ogos, sebagai tarikh perbicaraan.

Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara jam 2.30 hingga jam 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan terhadapnya adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.– BERNAMA

Berita Harian X