Jumaat, 20 Mei 2022 | 7:09pm
Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi mencari seorang lagi mangsa yang dikhuatiri lemas - Foto NSTP/ Rosli Ilham
Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi mencari seorang lagi mangsa yang dikhuatiri lemas - Foto NSTP/ Rosli Ilham

Hati berdebar apabila jumpa selipar ayah

CHUKAI: "Hati saya mula berdebar selepas menemui selipar mereka di tepi pantai itu.

"Kami adik beradik mencari ayah sekitar kawasan itu namun tidak menemuinya dan keadaan itu menyebabkan kami syak mereka mandi di situ," kata Muhammad Usaamah Ahmad Qarib, 19, selepas kedua ibu bapanya dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman, awal pagi tadi.

Sangkaan Muhammad Usaamah benar-benar berlaku selepas mayat ayahnya, Ahmad Qarib Ab Kadir, 60, ditemui lemas kira-kira jam 2.10 petang.

Ahmad Qarib bersama isterinya, Rokiah Abd Rahman, 59, dari Temerloh Pahang dikatakan mandi di pantai terbabit kira-kira jam 4 pagi.

Usaha mencari Rokiah masih diteruskan.

Muhammad Usaamah, berkata dia bersama kedua-dua ibu bapa serta tiga adik beradiknya berusia antara 24 hingga 16 tahun datang bercuti di situ.

"Ibu dan ayah turun ke pantai itu kira-kira jam 4 pagi selepas mereka maklum untuk turun mandi pantai dalam jarak 40 meter dari tempat kami menginap.

"Apabila saya dan adik beradik bangun pada jam 5 pagi, kami dapati mereka (ayah dan ibu) sudah tiada," katanya.

Dia kemudian turun ke pantai itu mencari kedua ibu bapanya itu namun gagal menemuinya.

"Ayah dan ibu memang selalu mandi sebelum waktu subuh dan saya mencari mereka di pantai itu kerana ada beritahu nak mandi pantai.

"Saya temui selipar dan tikar di tepi pantai itu dan ketika itu saya syak mereka mandi di situ dan apabila gagal mencari mereka, saya segera menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan," katanya.

Muhammad Usaamah berkata, dia tidak menyangka percutian mereka sekeluarga di pantai itu membawa berita yang sangat sedih.

Sementara itu, saksi, Mohd Shahrul Hisyam Nawawi, 30, berkata, dia menemui suatu objek menyerupai manusia ketika memancing kira-kira jam 2 petang.

Katanya, sebelum itu dia bersama seorang rakan sedang memancing di atas sebuah bot gentian kaca kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman.

"Ketika bot bergerak untuk beralih ke kawasan lain, saya ternampak objek seperti manusia sebelum meminta rakan memusingkan bot.

"Sebaik sampai, saya dapati mayat seorang lelaki berpakaian baju T dengan kain pelikat sebelum saya menghubungi pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, sebaik anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tiba, dia meninggalkan lokasi kejadian.

Berita Harian X