Jumaat, 20 Mei 2022 | 6:38pm
18 PATI Myanmar ditahan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak ketika cuba memasuki negara ini jam 1.30 pagi ini. - Foto PGA
18 PATI Myanmar ditahan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak ketika cuba memasuki negara ini jam 1.30 pagi ini. - Foto PGA

PGA tahan 18 PATI Myanmar

BUKIT KAYU HITAM: Pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar semakin berani mencari peluang memasuki negara ini secara haram melalui pagar sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila 18 PATI Myanmar ditahan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak ketika mereka cuba memasuki negara ini pada jam 1.30 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintendan Ramli Wan Salin berkata, semua pendatang tanpa haram itu dipercayai menggunakan laluan sama yang pernah digunakan PATI yang pernah ditahan sebelum ini.

Beliau berkata, semua mereka adalah lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun dan hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen sah.

"Modus operandi yang dilakukan mereka tetap sama iaitu mencari peluang ketika anggota PGA tiada di situ melalui pagar yang dipotong.

"Semua PATI yang ditahan kemudian dibawa ke hospital berhampiran untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, peluang pekerjaan di negara ini antara faktor menyebabkan Pati cuba memasuki negara ini secara haram.

Pada 11 Mei lalu, PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak menahan 17 Pati warga Myanmar yang terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita yang cuba memasuki negara ini secara haram di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Berita Harian X