Jumaat, 20 Mei 2022 | 6:37pm

Pemandu lori maut tersepit kenderaan dihempap pokok tumbang

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan yang dipandu dihempap pokok tumbang di Jalan Sri Wangi 1/5, kawasan perindustrian Desa Plentong di Masai, petang ini.

Mangsa dikenali sebagai Nasarudin Abd Kadir, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, sepasukan 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 2.52 petang.

Katanya, setiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati sebuah lori tiga tan dihempap pokok berketinggian enam meter.

"Kejadian berlaku ketika lori yang membawa muatan barangan kimpalan menggunakan laluan ini sebelum pokok berkenaan tiba-tiba tumbang dan menghempap lori dipandu mangsa hingga mengakibatkannya tersepit.

"Anggota bomba memotong pokok dan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak KKM.

"Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Keselamatan Komuniti Plentong Daerah Seri Alam, Amzah Moideen, berkata beberapa pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan itu sebentar tadi.

Motosikal yang dihempap pokok di Jalan Rotan Bakau dan Jalan Rotan Tanah di Taman Ria Plentong, Masai, petang ini. - Foto ihsan Bomba
Motosikal yang dihempap pokok di Jalan Rotan Bakau dan Jalan Rotan Tanah di Taman Ria Plentong, Masai, petang ini. - Foto ihsan Bomba

Beliau berkata, ia termasuk di Jalan Rotan Bakau dan Jalan Rotan Tanah.

"Sebanyak 13 motosikal dan tiga kereta mengalami kerosakan akibat dihempap pokok berketinggian lebih lima meter dan berusia lebih 20 tahun itu.

"Malah, ada pokok yang menghempap tiang elektrik hingga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik membabitkan beberapa rumah," katanya.

Berita Harian X