Khamis, 19 Mei 2022 | 8:01pm
Antara PATI warga Myanmar yang ditahan dalam tiga serbuan polis di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Kayu Hitam awal pagi tadi - Foto NSTP/PDRM
Antara PATI warga Myanmar yang ditahan dalam tiga serbuan polis di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Kayu Hitam awal pagi tadi - Foto NSTP/PDRM

Polis tahan 4 tekong darat, 39 PATI Myanmar

BUKIT KAYU HITAM: Empat lelaki tempatan dipercayai tekong darat ditahan bersama 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup dalam tiga serbuan di kawasan Bukit Kayu Hitam, awal pagi hari ini.

Siasatan awal polis mendapati mereka dipercayai mengambil upah antara RM500 hingga RM1,500 untuk sebuah kereta yang digunakan untuk mengangkut pendatang warga Myanmar terbabit.

Mereka ditahan pegawai dan anggota dari cawangan pencegahan jenayah Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, tangkapan pertama dilakukan pada jam 4.30 pagi di Kilometer 6.5 Lebuhraya Utara Selatan selepas pihaknya menahan sebuah van yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam van itu menemui 13 PATI warga Myanmar yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 34 tahun.

"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen yang sah masuk ke negara ini.

"Dalam tangkapan kedua jam 6.30 pagi, polis menahan sebuah Proton Exora yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di Kilometer 7.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

"Pemeriksaan dalam kenderaan itu mendapati 12 PATI warga Myanmar terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga perempuan berusia antara 19 hingga 35 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, dalam tangkapan ketiga jam 6.50 pagi di Kilometer 9.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, polis menahan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama seorang lagi rakannya masing-masing berusia 20 dan 23 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 14 PATI warga Myanmar yang terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia 18 hingga 40 tahun.

"Mereka yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)/ Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X