Rabu, 18 Mei 2022 | 12:51pm
Anggota Markas 1 Divisyen mengawal 16 PATI warga Indonesia yang ditahan ketika cuba masuk ke Sarawak secara haram melalui jalan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab di Lundu. NSTP/ MELVIN JONI
Anggota Markas 1 Divisyen mengawal 16 PATI warga Indonesia yang ditahan ketika cuba masuk ke Sarawak secara haram melalui jalan ladang kelapa sawit Tetangga Akrab di Lundu. NSTP/ MELVIN JONI

Tekong, PATI warga Indonesia ditahan di ladang sawit

LUNDU: Tiga tekong darat termasuk seorang wanita ditahan bersama 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba diseludup masuk ke negara ini semalam.

Mereka ditahan selepas dua kenderaan mencurigakan dinaiki tiga individu dikesan sepasukan anggota Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) ketika menyusuri laluan kelapa sawit Tetangga Akrab menuju sempadan Indonesia kira-kira jam 1.30 petang.

Markas 1 Divisyen berkata, selepas kira-kira dua jam pemantauan dilakukan serbuan dilakukan sepasukan anggota terbabit ketika dua kenderaan itu berpatah balik dari arah Indonesia ke Malaysia untuk tujuan pemeriksaan.

"Hasilnya, dua lelaki dan seorang wanita yang juga warga Indonesia dikesan bertindak sebagai tekong darat cuba menyeludup masuk 13 PATI dari negara jiran terdiri 11 lelaki dan dua wanita yang semuanya berusia 17 hingga 73 tahun menerusi laluan tidak sah.

"Semua kenderaan bersama tekong darat dan PATI terbabit ditahan dan diserahkan kepada Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan pula, lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan ketika memasuki negara ini secara haram menggunakan laluan tikus di kawasan ladang kelapa sawit Rimbunan Hijau, kira-kira 150 meter dari sempadan.

Markas 1 Divisyen memaklumkan, laporan polis mengenai kejadian itu sudah dibuat di Balai Polis Lundu semalam dan semua PATI berusia 16 hingga 48 tahun terbabit diusir di Pos Semunying pada hari sama.

Berita Harian X