Selasa, 17 Mei 2022 | 5:21pm

3 kontraktor kutipan sampah didenda guna dokumen palsu mohon tender

ALOR SETAR: Seorang pemilik syarikat kutipan sampah didenda RM80,000 manakala dua lagi masing-masing didenda RM45,000 selepas mengaku bersalah menipu menggunakan dokumen palsu dalam permohonan tender pengutipan sampah dan pembersihan awam pada 2019.

Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman denda RM80,000 terhadap Suhaimi Mohd, 47 manakala masing-masing RM45,000 terhadap dua lagi tertuduh Shafizawati Shafiee, 48, dan Arman Yani Anuar, 51.

Mengikut pertuduhan, Suhaimi didakwa secara curang menggunakan penyata akaun Affin Bank Berhad milik syarikat Cahaya Venture Enterprise dan akaun Maybank Islamic milik syarikat Bumi Emas Prestige Sdn Bhd bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 yang palsu bagi memohon tender projek penswastaan pengutipan sisa pepejal dan pembersihan awam pada 19 Januari 2019.

Berikutan permohonan itu, Cahaya Venture Enterprise ditawarkan tender membabitkan bayaran berjumlah RM68,000 sebulan dan Bumi Emas Prestige Sdn Bhd ditawarkan tender sama membabitkan bayaran berjumlah RM56,000 sebulan selama tiga tahun bermula 1 Julai 2019.

Shafizawati pula didakwa secara curang menggunakan penyata akaun CIMB Bank milik syarikat ADF Teguh Sdn Bhd bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 bagi memohon tender projek sama antara 14 hingga 20 Januari 2019.

Berikutan permohonan itu, ADF Teguh ditawarkan tender terbabit membabitkan bayaran berjumlah RM71,237 sebulan selama tiga tahun bermula 1 Julai 2019.

Arman Yani pula didakwa secara curang menggunakan penyata akaun CIMB Bank milik syarikat Perniagaan Nafas Abadi bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 untuk memohon tender projek sama antara 15 hingga 17 Januari 2019.

Berikutan permohonan itu, Perniagaan Nafas Abdi ditawarkan tender terbabit membabitkan bayaran berjumlah RM90,423 sebulan selama tiga tahun bermula 1 Julai 2019.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Wisma Idaman, Enviroment Idaman (Kedah&Perlis), Alor Setar.

Berikutan itu, ketiga-tiga tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Rehab Abdul Shukur dan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin.

Suhaimi diwakili peguam, Khoo Wai Tuck, manakala Shafizawati dan Arman Yani, tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di Kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Arman Yani Mohd dan Shafizawati Shafiee didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender kutipan sampah - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Arman Yani Mohd dan Shafizawati Shafiee didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender kutipan sampah - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X