Selasa, 17 Mei 2022 | 4:32pm

Serahan dokumen kes bunuh, buang dalam gaung 16 Jun ini

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 16 Jun depan bagi tarikh serahan dokumen perbicaraan kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita yang mayatnya ditemui dalam gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus.

Majistret Mohd Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik yang masih belum diperoleh hari ini.

Pada 13 April lalu, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Seremban kerana membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan berusia lima tahun.

Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29.

Khalid Redza turut berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang mana kes itu dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di alamat No 518-1, Jalan Temiang, Taman Nee Yan di Seremban antara 3 hingga 17 Mac lalu.

Pada prosiding berkenaan, peguam pemerhati, Datuk Hanif Hassan mewakili pihak keluarga Siti Syarifah turut hadir di mahkamah.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Hakim Rushan Lutfi Mohamed turut menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik bagi dua kes terhadap Khalid iaitu pengabaian kanak-kanak dan mencederakan wanita.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur yang boleh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi yang sama antara 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022.

Berita Harian X