Selasa, 17 Mei 2022 | 1:50pm
Seorang buruh warga Indonesia maut disyaki ditetak di rumah kongsi sebuah ladang di Mukim Ganchong, Pekan, semalam. Foto ihsan PDRM
Seorang buruh warga Indonesia maut disyaki ditetak di rumah kongsi sebuah ladang di Mukim Ganchong, Pekan, semalam. Foto ihsan PDRM

Buruh warga Indonesia maut disyaki ditetak rakan senegara

PEKAN: Seorang buruh warga Indonesia maut disyaki ditetak seorang lelaki senegara menggunakan parang di rumah kongsi sebuah ladang di Mukim Ganchong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Selamet, 45, ditetak pada bahagian siku kiri, bahu kanan dan kiri, leher kanan, dahi, kepala, belakang kepala serta dagu, selain telinga kanan putus.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan keluar rumah kongsi untuk ke tandas sebelum tiba-tiba didatangi suspek dalam keadaan mengamuk sambil memegang sebilah parang dan menetaknya.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tetakan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mohd Zaidi berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Pekan serta Kuantan menahan suspek berumur 32 tahun kira-kira jam 7.30 pagi di tepi jalan di Kilometer 26 Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah parang pada jam 12.15 tengah hari, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Berdasarkan hasil siasatan, setakat ini, punca kejadian dipercayai suspek berhalusinasi selepas menghisap syabu. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, menurut keterangan saksi utama yang juga abang mangsa, terdahulu suspek dikatakan terserempak dengannya di belakang rumah kongsi kira-kira jam 2 pagi.

Ketika itu, beliau berkata, suspek didakwa berada dalam keadaan mundar-mandir sambil memegang sebilah parang.

"Abang mangsa dikatakan menegur dan bertanya sama ada suspek ingin memancing ikan tetapi tiada jawapan," katanya.

Berita Harian X