Selasa, 17 Mei 2022 | 11:23am

Kontraktor didakwa tikam isteri guna pisau

JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menikam wanita itu menggunakan pisau pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd Ghazali Nor Hisham, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Aliza Hasan, 32, dengan menikam mangsa menggunakan pisau.

Mohd Ghazali didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka dekat Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang, kira-kira jam 10.30 pagi 13 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan denda serta sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairi Mohamed Said tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah ikat jamin RM20,000 dikenakan jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Tertuduh yang tiada diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya mahkamah membenarkan dirinya diikat jamin.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Ghazali diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Seri Alam sebulan sekali, selain menyerahkan pasport antarabangsa dan dilarang mengganggu mangsa atau mana-mana pendakwaan.

Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Jun depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Berita Harian X