Oleh Ahmad Hasbi [email protected]
SEREMBAN: Seorang peniaga gerai cedera pada kepala dan tangan selepas terkena zink selepas tembok dinding dari tingkat sembilan ruang parkir runtuh gara-gara dilanggar sebuah kereta petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang apabila pemandu sebuah Perodua Myvi dikatakan tertekan pedal minyak ketika cuba untuk keluar dari parkir di Stesen Bas Terminal 1, di sini, lalu merempuh tembok.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai satu kemalangan di tingkat sembilan kawasan tempat letak kenderaan Stesen Bas Terminal 1, yang membabitkan sebuah Perodua Myvi.
Hasil siasatan awal, katanya kemalangan berlaku ketika pemandu kereta yang berusia 22 tahun hendak bergerak keluar dari kotak parkir menuju lobi utama seorang diri.
"Sejurus terbabas dan melanggar tembok menyebabkan struktur itu runtuh, bumbung zink sebuah gerai yang dihempap terkoyak dan terkena seorang wanita berusia 58 tahun yang bekerja sebagai peniaga gerai di kawasan itu.
"Akibat kemalangan, mangsa wanita terbabit cedera pada bahagian kedua-dua tangan dan luka pada kepala, manakala pemandu Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.