Ahad, 15 Mei 2022 | 8:13pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Penoreh getah maut nahas tiga kenderaan

JERTIH: Seorang penoreh getah maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 116 Jalan Kuala Terengganu-Kelantan sempadan Bukit Yong, Besut di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata kemalangan jam 5.30 petang itu membabitkan Proton Wira, Perodua Myvi serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Chery Easter.

Dalam kejadian itu, katanya, pemandu Proton Wira, Ismail Yaacob, 67, beralamat dari Kampung Banggol Judah, Machang dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Machang, Kelantan, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Proton Wira itu dipercayai gagal dikawal dan memasuki laluan bertentangan sebelum terlanggar Perodua Myvi serta Chery Easter.

"Dua penumpang kereta Wira yang cedera parah dibawa ke Hospital Besut dan seorang lagi penumpang kenderaan itu dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Kelantan.

"Pemandu dan penumpang Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.

"Pemandu dan tujuh penumpang Chery Easter yang cedera ringan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan susulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X