Sabtu, 14 Mei 2022 | 11:07am

Pemandu maut, 4 cedera nahas tiga kenderaan

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor maut, seorang parah manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lintas, berhampiran sebuah stesen minyak Taman Iramanis, di sini, awal pagi tadi.

Nahas kira-kira jam 1 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, Toyota Aristo dan BMW 530E.

Pemandu Toyota Hilux, Wilson Kong, 26, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Toyota Aristo, lelaki berusia 30 tahun parah dan penumpangnya lelaki berusia 23 tahun cedera.

Pemandu dan penumpang BMW 530E berusia 26 dan 25 tahun turut cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati pemandu dan penumpang kereta BMW 530E dan Toyota Aristo dari Inanam menuju ke rumah masing-masing di Likas dan Penampang melalui Jalan Lintas.

"Setiba di lokasi kejadian, ketika BMW 530E mengiringi belakang Toyota Aristo di lorong kanan, tiba-tiba kenderaan Toyota Hilux yang dipandu mangsa keluar dari simpang laluan bertentangan secara mengejut.

"Ia menyebabkan Toyota Aristo yang berada di hadapan tidak sempat mengelak daripada terlanggar bahagian hadapan sebelah kiri Toyota Hilux menyebabkan Toyota Aristo terbabas ke bahu kiri jalan.

"Sementara BMW 530E yang berada di belakang Toyota Aristo juga tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian sisi kiri sebelah belakang Toyota Hilux menyebabkan kenderaan pacuan empat roda itu berpusing ke lorong kanan jalan dan pemandu tercampak ke parit kecil di pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, selepas kemalangan itu, Toyota Aristo terbakar pada bahagian hadapan dan pemandu BMW 530E yang sedar kemudian bertindak segera menarik keluar pemandu dan penumpang Toyota Aristo yang tersepit di dalam kereta berkenaan.

"Dia turut membantu memadam api dengan dibantu seorang pekerja stesen minyak yang datang ke lokasi kemalangan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

"Sementara pemandu dan penumpang kedua-dua kereta yang cedera dihantar ke HQE II menaiki ambulans yang tiba di lokasi untuk rawatan lanjut," katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat selepas terbabit kemalangan di Jalan Lintas berdekatan sebuah stesen minyak di Iramanis, di sini awal pagi tadi. STR/MOHD ADAM ARININ
Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat selepas terbabit kemalangan di Jalan Lintas berdekatan sebuah stesen minyak di Iramanis, di sini awal pagi tadi. STR/MOHD ADAM ARININ
Berita Harian X