Sabtu, 14 Mei 2022 | 10:18am
Pihak polis membawa mayat mangsa kemalangan di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. Gambar kecil; Mangsa, Nurul Shafeena Mohd Hasmawi. - Foto PDRM
Pihak polis membawa mayat mangsa kemalangan di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. Gambar kecil; Mangsa, Nurul Shafeena Mohd Hasmawi. - Foto PDRM

Remaja maut, rakan cedera ketika keluar beraya

ALOR GAJAH: Seorang remaja maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka ketika keluar beraya melanggar kereta di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam.

Nahas jam 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Nurul Shafeena Mohd Hasmawi maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang rakannya, Nurul Atiqah Musa terlanggar kereta dipandu pesara tentera berusia 77 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat di Kuala Sungai Baru dan dikatakan keluar beraya.

Katanya, motosikal remaja terbabit dari arah Pekan Kuala Sungai Baru menghala ke Kuala Linggi, manakala kereta membelok dari simpang kedai runcit untuk ke Pekan Kuala Sungai Baru.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal itu melanggar bahagian hadapan kereta yang sedang membelok.

"Perlanggaran itu menyebabkan pembonceng motosikal tercampak ke hadapan sejauh 15 meter hingga parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Penunggang motosikal pula cedera pada kaki dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka dan keadaannya stabil," katanya dalam kenyataan.

Arshad berkata, pemandu kereta tidak cedera.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus, dua hala dan mempunyai simpang untuk ke kedai runcit manakala keadaan cuaca baik.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X