Jumaat, 13 Mei 2022 | 1:02pm
Tertuduh, T. Muniswaran; S. Katharavello, dan Mohd Zulbihar Ali Khan Kamaldin, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah hotel dekat Bukit Bintang, minggu lepas.
Tertuduh, T. Muniswaran; S. Katharavello, dan Mohd Zulbihar Ali Khan Kamaldin, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah hotel dekat Bukit Bintang, minggu lepas.

Kes tembak di Bukit Bintang: 3 rakan didakwa membunuh

KUALA LUMPUR: Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah hotel dekat Bukit Bintang dalam satu kejadian pada minggu lalu.

Tertuduh, T. Muniswaran, 49; S. Katharavello, 52; dan Mohd Zulbihar Ali Khan Kamaldin, 48, didakwa bersama-sama membunuh S. Prabah, 49, dalam sebuah bilik di Hotel Capitol, Bukit Bintang di sini, di antara jam 6.05 hingga 6.40 petang pada 3 Mei lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas dia mendaftar masuk. – BERNAMA

Berita Harian X