Khamis, 12 Mei 2022 | 8:12pm
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Guru al-Quran maut kemalangan seminggu sebelum konvokesyen

NILAI: Seorang graduan diploma maut digilis lori tangki dalam kemalangan di Jalan Batang Benar, di sini, seminggu sebelum mangsa dijadual menghadiri majlis konvokesyennya di sebuah kolej di Port Dickson, dekat sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi tadi apabila motosikal ditunggang mangsa, Muz Mohd Nasir, 22, bergesel dengan sebuah lori tangki ketika cuba memotong kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan parah pada kepala selepas digilis kenderaan berat itu.

Katanya, mangsa yang kini bekerja sebagai guru al-Quran di sebuah institusi swasta, di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kemalangan berlaku ketika lori tangki dipandu lelaki berusia 50 tahun dari Kajang di Selangor menghala Nilai.

"Motosikal mangsa yang sedang memotong di sebelah kanan lori bergesel dengan kenderaan berat itu dan hilang kawalan, lalu penunggang terjatuhnya dan digilis lori berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fazley berkata, kes itu ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X