Khamis, 12 Mei 2022 | 5:31pm
Jauteh (kanan) menunjukkan bungkusan teh Cina berisi syabu yang dirampas di kawasan Taman Sri Rugading, Tuaran. - NSTP / JUWAN RIDUWAN
Jauteh (kanan) menunjukkan bungkusan teh Cina berisi syabu yang dirampas di kawasan Taman Sri Rugading, Tuaran. - NSTP / JUWAN RIDUWAN

Polis rampas 10.4kg syabu dalam bungkusan teh Cina

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas 10 pek bungkusan teh Cina yang ditemui dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya disahkan mengandungi dadah jenis syabu.

Suspek, 40, ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah selepas SUV jenis Toyota Prado diperiksa dalam serbuan di kawasan perumahan Taman Sri Rugading, dekat Tuaran, kira-kira jam 10 malam Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan 10 bungkusan teh Cina terbabit mengandungi 10.4 kilogram syabu dengan anggaran nilai pasaran semasa RM360,000.

Mengulas serbuan, katanya siasatan mendapati dadah terbabit disyaki dibawa dari Kuala Lumpur dan dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran negeri ini.

"Polis tidak menolak kemungkinan tangkapan dan rampasan ini mempunyai kaitan dengan sindiket yang pernah ditumpaskan sebelum ini.

"Berdasarkan jumlah dadah dirampas, kita percaya bekalan ini mampu menampung kegunaan hampir 50,000 penagih," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini siasatan masih diteruskan dan polis percaya terdapat dua lagi individu dikenal pasti terbabit kegiatan itu.

"Kedua-dua suspek kini dikesan JSJN Sabah," katanya mengesahkan suspek yang sudah ditahan itu kini direman tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X