Khamis, 12 Mei 2022 | 4:26pm

Tikam abang kerana berebut kereta ibu untuk beraya

MELAKA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau pemotong ayam gara-gara berebut kereta untuk beraya pada 1 Syawal lalu.

Nabil Sarip, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abangnya, Muhamad Farok, 38, dengan menggunakan pisau pemotong ayam di sebuah rumah di Jalan TMJ 19 Taman Tanjung Minyak Jaya, dalam daerah Melaka Tengah, pada 2 Mei lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari tidak menawarkan jaminan atas faktor keselamatan mangsa, namun mencadangkan ikat jamin tinggi jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkannya.

Peguam Amritpal Singh merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu di pusat bowling serta menanggung ibu bapa yang uzur. Ibu tertuduh juga memaklumkan mangsa akan menarik balik laporan kes itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa dalam apa juga cara.

Beliau kemudian menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu peguam ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media berdasarkan fakta kejadian dipercayai berlaku selepas tertuduh dan mangsa bertengkar kerana berebut pikap Toyota Hilux milik ibu mereka untuk pergi berhari raya.

Tertuduh, Nabil Sarip, 30, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abang kandung menggunakan pisau pada pagi Syawal lalu. - Foto NSTP/ Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh, Nabil Sarip, 30, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abang kandung menggunakan pisau pada pagi Syawal lalu. - Foto NSTP/ Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X