Khamis, 12 Mei 2022 | 12:50pm

Disangka ikan rupanya babi

BAYAN LEPAS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup masuk 20,736 tin produk makanan ikan yang sebenarnya adalah produk daging berasaskan babi dari China di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara, dekat sini.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib, berkata rampasan produk makanan yang ditinkan seberat 7,050.24 kilogram dianggarkan bernilai RM326,592 itu diimport tanpa permit menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.

"Pihak MAQIS sudah menjalankan prosedur persampelan dan Jabatan Kimia mengesahkan produk menggunakan label ikan tersebut adalah produk daging berasaskan babi.

"Ini adalah rampasan terbesar bagi produk hiliran berasaskan babi di negeri ini pada tahun ini," katanya pada Majlis Penghargaan Media dan Sambutan Aidilfitri, hari ini.

Berdasarkan rekod syarikat pengimport terbabit didapati kali pertama melakukan penyeludupan seumpama itu dan telah dikenakan kompaun sebanyak RM16,000.

Muhammad Ikram berkata, aktiviti import produk babi dari China dilarang keras kerana negara itu terjejas teruk dengan penularan wabak Demam babi Afrika atau African Swine Flu (ASF) dan dikhuatiri menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi di negara ini.

"Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF ialah babi hidup selain produk makanan seperti babi salai, sosej babi, babi yang ditinkan atau sebagainya.

"Produk sitaan yang dilucut hak itu akan dijangka akan dilupuskan dalam masa terdekat kira-kira dua minggu lagi dengan cara menggunakan teknologi insinerator," katanya.

Perbuatan mengimport dengan mengemukakan maklumat palsu dan tidak tepat adalah kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai MAQIS Pulau Pinang menunjukkan produk makanan ikan dari China yang sebenarnya adalah produk daging berasaskan babi yang cuba diseludup di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara, dekat sini. - Foto MIKAIL ONG
Pegawai MAQIS Pulau Pinang menunjukkan produk makanan ikan dari China yang sebenarnya adalah produk daging berasaskan babi yang cuba diseludup di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara, dekat sini. - Foto MIKAIL ONG
Berita Harian X