Rabu, 11 Mei 2022 | 11:15pm
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat

Lelaki didakwa culik budak sekolah disahkan OKU mental

PASIR GUDANG: Polis mengesahkan lelaki yang didakwa cuba menculik seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan video dan gambar kejadian itu tular pagi tadi, mengalami masalah psikiatri.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental dan hasil saringan air kencing mendapati dia juga positif dadah jenis methaphetamine.

Beliau berkata, suspek juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi, Balai Polis Taman Scientex menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

"Lelaki itu ditahan orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum dia diserahkan kepada pasukan anggota polis ronda cegah jenayah yang tiba ke lokasi kejadian.

"Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan ketika kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kanak-kanak lelaki itu berjalan dari Sekolah Agama (SA) Taman Scientex dan suspek mempelawa mangsa menumpang motosikal untuk dihantar ke rumah mangsa.

Beliau berkata, mangsa kemudian cuba dilarikan lelaki itu di hadapan restoran makanan segera di Taman Kota Masai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga tujuh tahun atau denda.

"Polis menasihati ibu bapa, penjaga dan pelajar sekolah supaya lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling supaya perkara sebegini tidak berulang," katanya.

Berita Harian X