KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu kereta MyVi yang sebelum ini tular kerana memandu kenderaan dalam keadaan berbahaya dan menghalang kenderaan lain di ibu negara, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Katanya, suspek turut direman sehingga Jumaat ini.
"Rentetan daripada video tular memaparkan tindakan suspek melakukan halangan terhadap pemandu lain, JSPT Kuala Lumpur membuka siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
"JSPT KL juga memohon mangsa (pemilik video Dash Cam) dan saksi kejadian tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Inspektor M Vigneswara di talian 0174336110 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.
Video berdurasi 0.27 saat itu dikesan tular sejak Ahad lalu memaparkan kereta Perodua Myvi sedang membuat provokasi dan halangan terhadap pemandu kenderaan lain.