Rabu, 11 Mei 2022 | 6:29pm
Sebuah kereta Hyundai Elantra terbakar dan menggelongsor di Kilometer 2.9 Jalan Genting Highlands semalam. - Gambar PDRM
Sebuah kereta Hyundai Elantra terbakar dan menggelongsor di Kilometer 2.9 Jalan Genting Highlands semalam. - Gambar PDRM

'Pemadam api memang perlu ada dalam kereta'

KUALA LUMPUR: Kalangan pengunjung Genting Highlands semalam panik apabila sebuah kereta terbakar yang diletakkan di tepi jalan untuk ke puncak pusat peranginan itu, tiba-tiba menggelongsor menuruni bukit.

Dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, rakaman video Hyundai Elantra yang terbakar dan menggelongsor ke bawah itu menjadi tular di media sosial sejak semalam. Kejadian itu juga membuatkan ramai netizen mengingatkan sesama sendiri kepentingan menyediakan alat pemadam api dalam kenderaan masing-masing.

Ia dikatakan berlaku di laluan berbukit di Kilometer 2.9 Jalan Genting Highlands dan situasi cemas berlarutan kereta yang sedang menaiki bukit ke pusat peranginan itu cuba mengelak dari dirempuh kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, ia sempat melanggar sebuah Toyota Vellfire, yang dilihat tidak sempat mengelak.

Rakaman berdurasi 0.27 saat itu menjadi tular apabila dirakam dari atas oleh individu yang sedang menaiki kereta kabel.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun dalam perjalanan dari ibu negara ke Genting Highlands sebelum api keluar dari bahagian enjin.

"Api itu merebak ke bahagian lain menyebabkan pemandu memberhentikan dan meninggalkan kenderaannya.

"Ketika itu kereta terbabit mengundur dengan sendiri dan terlanggar sebuah Toyota Vellfire di belakang," katanya.

Katanya, kedua-dua pemandu tidak cedera dan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian itu menyebabkan Hyundai Elantra terbabit terbakar 80 peratus.

Berita Harian X