Rabu, 11 Mei 2022 | 5:42pm
 Seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah lori di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran lampu isyarat ke Jalan Seremban-Tampin, tengah hari tadi. Foto ihsan bomba.
Seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah lori di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran lampu isyarat ke Jalan Seremban-Tampin, tengah hari tadi. Foto ihsan bomba.

Warga emas maut digilis lori

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas maut dipercayai digilis lori kira-kira sejauh 10 meter dengan cebisan dagingnya bertaburan di atas jalan di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran lampu isyarat ke Jalan Seremban-Tampin, di sini, tengah hari tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, lelaki berusia 80 tahun itu dikatakan cuba memotong di sebelah kiri lori berkenaan, namun bergesel dengan kenderaan berat itu sebelum terjatuh ke atas jalan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata mangsa tersepit di bawah tayar lori berkenaan sebelum dikeluarkan dengan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang.

"Siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Hohan bergerak lurus dari arah Kuala Pilah menghala ke Plaza Tol Senawang.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 80 tahun dikatakan cuba memotong lori berkenaan, namun bergesel dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 69 tahun itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanda berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai terjatuh ke jalan raya dan digilis lori yang datang dari Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senawang itu sebelum diseret sejauh kira-kira 10 meter.

"Mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.

"Siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X