Rabu, 11 Mei 2022 | 4:38pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Lelaki didakwa tipu sewa tapak bazar Ramadan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di lima Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas lima pertuduhan menipu dalam urusan sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil dan tapak bazar tidak wujud membabitkan wang RM10,800.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Nurul Akhbar Maula Yusoff, 20, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang lelaki dan empat wanita berusia antara 24 hingga 35 tahun dengan memperdaya mereka dalam urusan menawarkan sewa tapak bazar berkenaan sehingga mendorong mereka menyerahkan wang berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Cheras, Puchong dan Bukit Jalil di sini, antara 7 Februari hingga 30 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lyn, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi, G Phulrani Kaur dan Nadia Eleena Jamaluddin Akbal masing-masing mencadangkan jaminan RM7,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mu'az Al-Awwal Mohamad Zafarullah yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yatim piatu dan dijaga keluarga angkat, selain tiada sumber kewangan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,700 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan sebutan kes ditetapkan pada 13 Jun dan 4 serta 26 Julai ini. – BERNAMA

Berita Harian X