Rabu, 11 Mei 2022 | 4:29pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Polis tahan guru taska disyaki dera budak 4 tahun

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang wanita yang juga guru taska bagi membantu siasatan kes dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai didera suspek di Tampoi, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata wanita berusia 24 tahun itu yang ditahan di tepi Jalan Putih, Skudai, di sini, malam tadi, direman hingga 17 Mei ini.

Beliau berkata, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, video kejadian dera itu tular di media sosial dan satu laporan polis mengenai kejadian itu dibuat ibu kanak-kanak terbabit semalam.

"Kanak-kanak itu yang juga seorang hiperaktif dan masalah lambat bercakap ditempatkan ibu bapanya di taska berkenaan yang juga pusat jagaan untuk kanak-kanak normal dan kanak-kanak berkeperluan khas.

"Hasil siasatan melalui rakaman sistem kamera litar bertutup (CCTV), taska itu mendapati guru berkenaan menarik telinga dan menekap bantal ke muka mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami lebam atas telinga kanan dipercayai didera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rupiah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122. – BERNAMA

Berita Harian X