Rabu, 11 Mei 2022 | 3:16pm

Penganggur kena jel kes cabul, miliki senjata

KOTA BHARU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul remaja perempuan dan memiliki senjata di Kuala Krai pada Mac dan April lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Edry Shah Rimiey Ghani, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, tertuduh mengaku bersalah memiliki senjata berjadual di bawah Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, iaitu sebilah pisau besi pendek berhulu kayu, satu besi bewarna keemasan berlubang lima, iaitu buku lima tanpa maksud yang sah.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka di dalam Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai jam 5 petang, 29 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan boleh dihukum mengikut seksyen 7(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tertuduh ditangkap.

Bagi pertuduhan pindaan pertama kes cabul pula, dia mengaku melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun di bawah rumpunan buluh berhampiran sebatang sungai di Kuala Krai, pada jam 3 petang, 21 Mac.

Pertuduhan pindaan kedua pula, dia mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap mangsa sama di sebuah rumah di Kuala Krai pada jam 10 pagi, 20 April.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun untuk pertuduhan pindaan pertama dan enam tahun bagi pertuduhan pindaan kedua dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Edry Shah (kiri) dijatuhi hukuman penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bahru, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Edry Shah (kiri) dijatuhi hukuman penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bahru, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X