Rabu, 11 Mei 2022 | 11:25am
Polis menahan dua suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah selepas melepaskan tembakan ke kereta mereka selepas cuba merempuh anggota operasi - Foto NSTP/PDRM
Polis menahan dua suspek disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah selepas melepaskan tembakan ke kereta mereka selepas cuba merempuh anggota operasi - Foto NSTP/PDRM

Polis tembak kereta penjenayah

BEAUFORT: Polis melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan dua pengedar dadah yang cuba merempuh anggotanya dalam operasi di Kampung Limbawang, di sini, malam tadi.

Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu berjaya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir di Jalan Melulugus, berhampiran Kolej Komuniti Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki berkata, berkata pada jam 8.30 malam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menjalankan pemerhatian di sebuah rumah tanpa nombor di situ.

Katanya, hasil pemerhatian itu, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan rumah berkenaan.

"Pasukan serbuan mendekati kereta itu dan mengarahkan pemandu (suspek) berhenti namun suspek bertindak agresif dan terus memandu laju ke arah pasukan serbuan sehingga hampir melanggar anggota polis.

"Polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta berkenaan.

"Namun kereta itu terus memecut laju menghala ke Jalan Melulugus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff berkata, polis mengejar kereta berkenaan sehingga di Jalan Melulugus berhampiran sebuah kolej dan kereta berkenaan terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir.

"Kedua-dua suspek kemudian cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 6.11 gram di atas tempat duduk sebelah pemandu.

"Kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine," katanya.

Menurutnya, mengikut semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Salah seorang suspek juga mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang pengedar tempatan dan polis sedang menyiasat mengenainya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Berita Harian X