Selasa, 10 Mei 2022 | 10:23pm
Anggota Hazmat dan agensi berkaitan melakukan analisis kandungan bahan kimia dalam air sungai. - Foto ihsan JBPM
Anggota Hazmat dan agensi berkaitan melakukan analisis kandungan bahan kimia dalam air sungai. - Foto ihsan JBPM

Sungai Kampung Rugading dikhuatiri tercemar bahan kimia

TUARAN: Sungai di Kampung Rugading, di sini, dikhuatiri tercemar selepas berlaku insiden tumpahan bahan kimia semalam.

Difahamkan, kejadian disedari penduduk kira-kira jam 6 petang sebelum Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dan agensi berkaitan bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemantauan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 6.34 petang.

Katanya, seorang pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikerah ke lokasi.

"Semalam pasukan Hazmat mendapati bacaan air sungai di tahap neutral, namun bahan kimia dikesan menerusi alat pengesan yang menunjukkan terdapat sisa buangan berjadual dalam larutan air sungai," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pada operasi hari ini pasukan bomba serta agensi Jabatan Kimia Sabah mengadakan pemantauan sekitar radius dua kilometer dan mengambil dua sampel air di dua lokasi aliran sungai bagi tujuan analisis.

"Pihak JAS turut memasang tiga peralatan khas bagi menyekat dan mengurangkan kadar pencemaran bahan kimia di tiga lokasi Sungai Rugading.

"Operasi ditamatkan jam 5 petang hari ini dan diambil alih oleh pihak JAS Sabah," katanya.

Berita Harian X