Selasa, 10 Mei 2022 | 8:19pm
Enam daripada tujuh PATI warga Myanmar yang ditahan polis awal pagi tadi kerana cuba memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah dengan menaiki sebuah Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki warga Myanmar. NSTP/IHSAN PDRM
Enam daripada tujuh PATI warga Myanmar yang ditahan polis awal pagi tadi kerana cuba memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah dengan menaiki sebuah Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki warga Myanmar. NSTP/IHSAN PDRM

`Transporter' gagal seludup masuk 7 warga Myanmar

BUKIT KAYU HITAM: Bertindak selaku `transporter', cubaan seorang lelaki warga Myanmar untuk membawa masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) senegaranya ke negara ini, gagal apabila mereka ditahan polis, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 37 tahun yang tinggal di Naka, Padang Terap itu dikatakan bertindak membawa tujuh Pati yang kesemuanya lelaki berusia 18 hingga 40 tahun dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandunya.

Mereka bagaimanapun ditahan anggota polis dari pasukan ronda cegah jenayah Balai Polis Bukit Kayu Hitam, di Kilometer 4.7 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada jam 4.15 pagi.

Difahamkan, kesemua PATI itu dipercayai cuba masuk ke negara ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata anggotanya menahan Perodua Alza yang dipandu suspek selepas mendapati kenderaan itu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui tujuh lelaki yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah masuk ke negara ini.

"Hasil siasatan juga mendapati, pemandu kereta warga Myanmar itu sudah hampir 10 tahun tinggal di negara ini dan bekerja sebagai buruh binaan.

"Kesemua tujuh PATI warga Myanmar itu memasuki negara ini melalui kawasan Ladang Rakyat Bukit Kayu Hitam menerusi ejen yang dikenali di Thailand," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rodzi berkata, kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 / Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Berita Harian X