Isnin, 9 Mei 2022 | 8:36pm
Polis Melaka melakukan pemantauan udara keadaan semasa di Plaza Tol Ayer Keroh sempena Op Selamat 18. - Foto ihsan PDRM
Polis Melaka melakukan pemantauan udara keadaan semasa di Plaza Tol Ayer Keroh sempena Op Selamat 18. - Foto ihsan PDRM

Nahas jalan raya di Melaka meningkat 73 kes

MELAKA: Sebanyak 676 kemalangan direkodkan di negeri ini sepanjang Op Selamat 18, meningkat 73 kes atau 12 peratus berbanding Op Selamat 15, tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar, berkata daripada jumlah itu, empat membabitkan kemalangan maut.

Beliau berkata, pada hari terakhir sebanyak 89 kes kemalangan dilaporkan dengan daerah Melaka Tengah mencatatkan angka tertinggi iaitu 60 kes diikuti Alor Gajah (20) dan Jasin (sembilan).

"Sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat 18 dilaksanakan bermula 29 April lalu hingga semalam, jumlah kemalangan di negeri ini meningkat 73 kes iaitu 676 kemalangan berbanding 603 kes ketika Op Selamat 15 pada 2019.

"Jumlah cedera parah juga meningkat 29 kes daripada tiga kepada 32 kes pada tahun ini, namun angka kematian berkurangan satu kes tahun ini menjadikan empat kematian direkodkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Zaki berkata, turut mencatatkan peningkatan kes mangsa cedera ringan sebanyak 36 kes tahun ini, berbanding tiada kes pada 2019.

"Selain itu, jumlah saman yang dikeluarkan turut meningkat 32 peratus atau 7,956 saman, berbanding 6,022 saman ketika Op Selamat 15.

"Saman tertinggi membabitkan daerah Melaka Tengah sebanyak 5,959 saman diikuti Jasin (1,566) dan Alor Gajah (441)," katanya.

Berita Harian X