Ahad, 8 Mei 2022 | 3:35pm
Sebahagian PATI warga Myanmar yang ditahan polis di Kampung Banggol Chicha, Pasir Masa, hari ini. - Foto POLIS
Sebahagian PATI warga Myanmar yang ditahan polis di Kampung Banggol Chicha, Pasir Masa, hari ini. - Foto POLIS

Tekong 21 tahun, 20 PATI Myanmar kena tahan

PASIR MAS: Seorang tekong bersama 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan polis selepas dikejar sejauh tujuh kilometer dalam kejadian di Kampung Banggol Chicha, di sini, hari ini.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak van putih dalam keadaan mencurigakan di simpang tiga Kampung Lubok Kawah, di sini.

Katanya, anggota polis kemudian meminta pemandu memberhentikan kenderaan, namun suspek memecut laju sebelum berhenti di tepi jalan untuk menyerah diri.

"Hasil pemeriksaan, pemandu van yang bertindak sebagai tekong berusia 21 tahun itu berasal dari Tawang, Bachok, membawa PATI yang terdiri tiga wanita serta 17 lelaki yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri sah untuk masuk ke negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka dipercayai memasuki negara melalui Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok mengikut pangkalan haram.

"Pemandu dan semua PATI itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

"Suspek warga tempatan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Beliau memaklumkan, kawalan sempadan Malaysia-Thailand terus diperketat terutama selepas pembukaan pintu sempadan bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras.

Berita Harian X