Ahad, 8 Mei 2022 | 2:59pm
Nahas lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Serampang di Kilometer 4.5 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru, awal pagi tadi. - FOTO TULAR
Nahas lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Serampang di Kilometer 4.5 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Johor Bahru, awal pagi tadi. - FOTO TULAR

Warga Singapura rempuh 4 kereta

JOHOR BAHRU: Sebuah kereta dipandu lelaki warga Singapura terbabas merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar empat kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Serampang di Kilometer 4.5 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, awal pagi tadi.

Nahas kira-kira jam 2.55 pagi itu menyebabkan lima kenderaan rosak, namun pemandu semua kenderaan terbabit hanya cedera ringan dan tiada kehilangan jiwa dilaporkan.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian berpunca apabila pemandu sebuah Mercedes Benz gagal mengawal kenderaannya.

"Kereta dipandu lelaki warga asing berusia 30-an itu datang dari arah pusat bandar dan gagal dikawal sehingga terbabas lalu melanggar batu penghadang di tengah jalan. sebelum merempuh pembahagi jalan.

"Selepas itu, ia melanggar empat kenderaan yang berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah. Ujian tahap alkohol yang dijalankan mendapati pemandu terbabit negatif," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan memohon saksi kejadian tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Nadzree Shamsudin di talian 019-4588904.

Berita Harian X