Sabtu, 7 Mei 2022 | 9:08pm
Op Selamat 18 dijalankan di Jalan Maxwell Ipoh semalam. - Foto BERNAMA
Op Selamat 18 dijalankan di Jalan Maxwell Ipoh semalam. - Foto BERNAMA

Op Selamat 18: Penunggang, pembonceng motosikal rekod kes maut tertinggi

KUALA LUMPUR: Kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah tertinggi dengan 88 kematian dicatatkan di seluruh negara setakat semalam sejak Op Selamat 18 sempena Aidilfitri dilancarkan pada 29 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata kemalangan maut membabitkan pemandu dan penumpang kenderaan lain pula mencatatkan 44 kematian diikuti pejalan kaki dengan lapan kematian serta penunggang basikal (satu kematian).

"Keseluruhan kes kematian sepanjang Op Selamat 18 adalah sebanyak 141 kematian dalam 135 kemalangan maut yang berlaku di jalan raya di seluruh negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata selain itu, polis secara keseluruhannya merekodkan sebanyak 12,985 kemalangan di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya setakat semalam juga, sejumlah 257,808 saman telah dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik.

Razarudin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 194,445 saman dikeluarkan atas kesalahan utama iaitu memotong barisan, memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju yang dibenarkan serta menggunakan alat telekomunikasi. – BERNAMA

Berita Harian X