Sabtu, 7 Mei 2022 | 5:04pm
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan. NSTP/Ihsan PDRM
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan. NSTP/Ihsan PDRM

Kesesakan lalu lintas di Johor dijangka berterusan hingga esok

JOHOR BAHRU: Kesesakan lalu lintas dijangka berlarutan pada hari ini dan esok di Johor berikutan peningkatan bilangan kenderaan bagi fasa selepas Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superitendan M Kumarasan, berkata kesesakan dijangka berlaku di lebuh raya, jalan persekutuan mahupun jalan-jalan negeri.

Beliau berkata, JSPT akan terus memantau semua laluan utama dalam penugasan Op Lancar bagi fasa selepas raya.

Katanya, peningkatan kenderaan adalah berpunca daripada pergerakan balik semula orang ramai ke destinasi selepas Aidilfitri.

"Orang ramai juga diingatkan mematuhi larangan kenderaan berat menggunakan lebuh raya pada hari ini dan esok seperti diwartakan oleh kerajaan bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

"Semua pengguna jalan raya khususnya yang memandu balik ke destinasi masing-masing dinasihatkan terus berhemah ketika memandu.

"Jangan pentingkan diri sendiri, kawal emosi dan sentiasa bersabar dengan situasi semasa, jangan membuat provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain," katanya.

Sementara itu, Kumarasan berkata, sehingga hari kelapan pelaksanaan Op Selamat 18/2022, sebanyak 18 kes kemalangan maut membabitkan 18 kes kematian dilaporkan.

"Sebanyak 14 kes membabitkan penunggang motosikal manakala empat kes membabitkan kereta," katanya kepada BH.

Berita Harian X