Jumaat, 6 Mei 2022 | 6:25pm

3 lelaki rompak wang tunai RM1 juta, barangan kemas

PASIR MAS: Polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di bandar Pasir Mas, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang ketika pemilik kedai bersama lima pekerja berada di premis terbabit.

Katanya, mereka tiba-tiba didatangi tiga lelaki bertopeng dengan dua daripada mereka dilapor membawa senjata dipercayai pistol, manakala seorang lagi menggunakan pisau.

Beliau berkata, mangsa kemudian diikat dan diarahkan berada di bawah meja, selain dipaksa membuka pintu besi dan mengisi wang tunai serta barangan kemas ke dalam beg diberikan oleh salah seorang suspek.

"Suspek kemudian mengambil kunci kereta jenis Perodua Alza berwarna putih kepunyaan pemilik premis itu dan melarikan diri menggunakan kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Muhamad Zaki berkata, polis melancarkan Ops Tutup dan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh Kelantan, selain mengatur gerak kumpulan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Kawalan dan sekatan dilakukan di pintu sempadan Malaysia-Thailand serta pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengesan suspek dan kenderaan yang dilarikan," katanya.

Muhammad Zaki berkata, pegawai dan anggota Batalion 8 PGA (PGA8) menemui kereta Perodua Alza yang dilarikan suspek, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, ketika melakukan rondaan di kawasan Kuala Jambu, Tumpat.

Seterusnya, beliau berkata, anggota membuat pemerhatian dan mendapati kereta tidak berkunci, manakala kunci ditemui berada di atas kerusi penumpang hadapan.

"Semua mangsa serta saksi dipanggil untuk membantu siasatan, dan polis masih meneliti semak banding beberapa keterangan.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu juga diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X