Jumaat, 6 Mei 2022 | 3:19pm
Keadaan restoran selepas dirempuh sebuah Perodua Kancil di Jalan Puteri Hang Li Poh, malam tadi. - Foto ihsan polis
Keadaan restoran selepas dirempuh sebuah Perodua Kancil di Jalan Puteri Hang Li Poh, malam tadi. - Foto ihsan polis

Warga emas tertekan pedal minyak rempuh restoran

MELAKA: Enam pelanggan sebuah restoran cedera akibat dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan selepas pemandunya tertekan pedal minyak dalam kejadian di Jalan Puteri Hang Li Poh, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu berlaku apabila pemandu warga emas berusia 66 tahun dipercayai tertekan pedal minyak kereta Perodua Kancil dipandunya.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar, berkata kejadian dipercayai berlaku selepas pemandu kereta itu selesai menjamu selera dan mahu beredar.

Katanya, warga emas berkenaan dikatakan meletak kenderaannya di hadapan premis dan ketika menghidupkan kereta dia tertekan pedal minyak.

"Akibatnya, kenderaan itu terus merempuh masuk ke dalam restoran dan merempuh dinding premis itu.

"Beberapa pelanggan di dalam restoran itu turut cedera ringan, manakala warga emas terbabit tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Zon Hijau Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/58," katanya.

Berita Harian X