MELAKA: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka mengeluarkan 4,477 saman sepanjang tempoh lima hari Ops Selamat 18 sehingga semalam.
Ketua JSPT negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar, berkata jumlah saman yang direkodkan bermula 29 April lalu itu menunjukkan peningkatan, berbanding Ops Selamat 15 dengan hanya 3,272 saman dikeluarkan.
Katanya, daripada jumlah saman itu, sebanyak 257 dikeluarkan terus kepada pemandu atau pemilik kenderaan selepas didapati melakukan kesalahan trafik.
"Saman tertinggi dikeluarkan membabitkan daerah Melaka Tengah dengan 3,691, diikuti Jasin 687 dan 98 di Alor Gajah.
"Antara kesalahan paling banyak dikesan parkir bertindih, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan halangan lalu lintas. katanya selepas memantau lalu lintas di Plaza Tol Ayer Keroh di sini, hari ini.
Amran berkata, sepanjang Ops Selamat 18 juga pihaknya merekodkan peningkatan 49 kes kemalangan jalan raya menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 340.
"Dalam tempoh lima hari ini kita merekodkan 340 kemalangan dengan peningkatan 17 peratus, berbanding hanya 291 pada Ops Selamat 15.
"Tiga kemalangan maut turut direkodkan dengan penunggang motosikal kategori pengguna jalan raya paling tinggi terbabit dalam kemalangan," katanya.
Beliau berkata, sehingga semalam pihaknya merekodkan 263,977 kenderaan memasuki negeri ini di tiga pintu masuk utama iaitu Plaza Tol Ayer Keroh, Plaza Tol Lipat Kajang dan Plaza Tol Simpang Ampat.