Selasa, 3 Mei 2022 | 3:51pm
Anggota bomba mengeluarkan mayat lelaki yang ditemui di bawah rumah yang runtuh dihempap pokok sejak empat hari lalu di Jalan Ilmu, Serian, hari ini. - Foto IHSAN JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mayat lelaki yang ditemui di bawah rumah yang runtuh dihempap pokok sejak empat hari lalu di Jalan Ilmu, Serian, hari ini. - Foto IHSAN JBPM

Mayat di bawah runtuhan rumah usang

KUCHING: Seorang lelaki dipercayai meninggal dunia sekurang-kurangnya sejak empat hari lalu, ditemukan di bawah runtuhan rumah usang yang dihempap pokok tumbang di Jalan Ilmu, Serian, hari ini.

Mayat Rone Medin, 54, ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan pencarian di bawah timbunan runtuhan serta dahan pokok kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis yang meminta bantuan khidmat khas bagi mencari mangsa pada jam 11.52 pagi tadi.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan yang memaklumkan mangsa dipercayai tertimbus di bawah runtuhan rumah itu.

"Kejadian dilaporkan di rumah usang bekas kuarters dan polis meminta bantuan bomba mencari mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

"Saiz pokok ara menghempap rumah itu yang besar dan meliputi seluruh kawasan runtuhan menyukarkan operasi.

"Kami terpaksa meminta bantuan dua unit jentera berat dari pihak syarikat CMS yang turut berada di lokasi bagi membantu mengalihkan pokok itu," katanya.

Selepas pokok itu dialihkan, katanya, mayat mangsa ditemui di bawah runtuhan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis, berkata pihaknya belum menerima fakta kes dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca keberadaan mangsa di bangunan usang itu.

Berita Harian X