Isnin, 2 Mei 2022 | 4:40pm
Tangkap layar video kes buli jalanan membabitkan sebuah Toyota Alphard yang tular di media sosial. - FOTO IHSAN JSPT
Tangkap layar video kes buli jalanan membabitkan sebuah Toyota Alphard yang tular di media sosial. - FOTO IHSAN JSPT

Pemandu Alphard terbabit buli direman 3 hari

KUALA LUMPUR: Pemandu Toyota Alphard yang terbabit kejadian buli di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang video perbuatannya tular di media sosial, direman tiga hari untuk membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, perintah tahanan reman sehingga 4 Mei itu diperoleh ketika suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam jam 10 pagi tadi.

"Majistret menerima permohonan dan membenarkan suspek direman tiga hari sehingga 4 Mei ini untuk membantu melengkapkan siasatan.

"Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Semalam, lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu Toyota Alphard yang diburu polis susulan video tular itu, dilapor ditahan di perkarangan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gombak

Video berdurasi dua minit 25 saat itu memaparkan Toyota Alphard berwarna putih dipandu berbahaya di Kilometer (KM) 25.1 KM 27.5 Lebuhraya KLK arah Genting Sempah.

Melalui video sama juga kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dilihat cuba memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan, yang mana perbuatan itu dirakam menggunakan kamera papan pemuka kenderaan lain.

Malah, pemandunya menghalang laluan pengadu dengan melakukan brek secara mengejut dan menyerongkan kenderaannya dengan niat provokasi terhadap pengguna lain atas jalan raya.

Berita Harian X