Ahad, 1 Mei 2022 | 10:35pm
Bomba mengeluarkan mangsa tersepit selepas keretanya merempuh pagar kediaman - Foto NSTP/Recqueal Raimi
Bomba mengeluarkan mangsa tersepit selepas keretanya merempuh pagar kediaman - Foto NSTP/Recqueal Raimi

Pemandu cedera kereta rempuh pagar rumah

TUARAN: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya merempuh pagar sebuah rumah di Jalan Tamparuli - Tuaran berhampiran stesen minyak Telibong di sini, malam tadi.

Pemandu terbabit berusia 24 tahun tersepit selama kira-kira 40 minit dalam kereta Proton Iswara sebelum diselamatkan bomba dan penyelamat dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.51 malam.

Katanya, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersepit di bahagian pemandu."

"Usaha mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan penuh berhati-hati menggunakan peralatan Kemalangan Lalu Lintas (RTA) disebabkan kedudukan kereta yang terbabas di atas pagar besi."

"Malah, kita khuatir mangsa mengalami kecederaan lebih teruk jika berlaku kesilapan ketika kerja merenggang dan memotong besi," katanya.

Menurutnya, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 8.30 malam sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.

"Operasi kemudiannya ditamatkan jam 9 malam selepas memastikan kenderaan dan lokasi tiada bahaya lain," katanya.

Menurut sumber di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar paip saluran air di bahu jalan sebelum merempuh pagar rumah penduduk.

Berita Harian X