Jumaat, 29 April 2022 | 4:01pm

Dua rakan didakwa bunuh warga Indonesia

GEORGETOWN: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia yang ditemukan mati dalam keadaan kaki kirinya diikat rantai besi pada kerusi di kawasan parkir blok pangsapuri di Jelutong, Jumaat lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Dino Antonio Felix, 52, dan Ng Tse How, 45, sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret, R Manomani.

Kedua-dua tertuduh hanya menjawab "faham" apabila disoal sama ada mereka memahami butiran pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Mereka didakwa secara bersama, membunuh Arsan Eka Putra, 33, sehingga menyebabkan kematiannya di Pangsapuri Eastern Court di Jelutong kira-kira pukul 5.39 petang pada 22 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa, Inspektor Cyril Jatius, manakala kedua-dua tertuduh belum diwakili peguam bela.

Cyril berkata, tiada jaminan ditawarkan dan beliau meminta mahkamah menetapkan tarikh lain sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Manomani berkata, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Mahkamah Majistret tidak mempunyai kuasa untuk memberi jaminan tersebut.

Mahkamah menetapkan tarikh 30 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat dikeluarkan.

Pada 22 April lalu, mayat Arsan Eka Putra ditemukan orang awam di pekarangan tempat letak kereta pangsapuri tersebut.

Sebelum ini kes itu disiasat sebagai mati mengejut namun ada beberapa perkara mencurigakan khususnya penggunaan rantai besi pada kaki mangsa menyebabkan polis mengklasifikasikan semula kes berkenan sebagai kes bunuh.

Dua rakan, Dino Antonio Felix, 52 dan Ng Tse How, 45, dituduh di Mahkamah Majistret Jenayah 3 Georgetown hari ini atas tuduhan membunuh Arsan Eka Putra, 33, warga Indonesia di Eastern Court, Jelutong pada jam 5.39 petang pada 22 April lalu.
Dua rakan, Dino Antonio Felix, 52 dan Ng Tse How, 45, dituduh di Mahkamah Majistret Jenayah 3 Georgetown hari ini atas tuduhan membunuh Arsan Eka Putra, 33, warga Indonesia di Eastern Court, Jelutong pada jam 5.39 petang pada 22 April lalu.
Berita Harian X