Rabu, 27 April 2022 | 5:31pm
Nurfatin Natasha Abdullah (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. - NSTP/HIDAYATIDAYU RAZALI
Nurfatin Natasha Abdullah (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. - NSTP/HIDAYATIDAYU RAZALI

Fatin kena tuduh tipu RM61,000 pelaburan emas

KOTA BHARU: Seorang pembantu perawatan kesihatan (PPK) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas 16 pertuduhan menipu dan memperdaya melalui tawaran pelaburan emas tidak wujud kepada seorang wanita membabitkan kerugian RM61,050.

Nurfatin Natasha Abdullah, 28, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan didakwa dilakukan antara 25 November hingga 21 Disember tahun lalu itu yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa menipu rakan sekerjanya, Aida Masirah Mohd Salleh, 51, dengan cara memperdayakan mangsa melalui tawaran pelaburan emas tidak wujud dan dengan curang mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank.

Perbuatan itu dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, antara 25 November 2021 sehingga 21 Disember 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana kes berkenaan serius dan membabitkan penipuan. Tertuduh memohon supaya dibenarkan diikat jamin dengan kadar minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jumlah jaminan berkenaan.

Berita Harian X