Rabu, 27 April 2022 | 11:50am

16 lokasi kerap kemalangan tumpuan Polis Kelantan

PASIR PUTEH: Polis Kelantan akan memberikan tumpuan khusus kepada 16 lokasi kerap berlaku kemalangan melalui Op Selamat yang digerakkan sempena Aidilfitri bermula Jumaat ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, lokasi itu turut membabitkan kawasan berlaku kemalangan maut terutamanya di laluan utama keluar masuk kenderaan ke negeri ini.

Antara laluan berkenaan adalah Kilometer (KM)-KM62 Jalan Gua Musang-Kuala Krai (Sungai Bayu); KM52-KM59 Jalan Gua Musang-Lojing; Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa (Jalan Tok Guru); Jalan Salor Baru-Pasir Mas; Jalan Binjai-Bachok, selain masing-masing dua jalan di Machang dan Pasir Mas serta satu jalan masing-masing di Kuala Krai, Tumpat, Tanah Merah, Jeli, Bachok dan Pasir Puteh.

"Kita juga akan menyediakan unit peronda bergerak dengan kerjasama penguat kuasa lain di lokasi ini yang sesak dan berisiko kemalangan.

"Pendekatan ini dibuat memandangkan jika ada anggota bertugas, pengguna jalan raya akan lebih mengikuti peraturan, tidak memotong barisan, bersabar dan mengikut laluan betul, sekali gus mengelak berlaku kemalangan," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Op Selamat 18/22 sempena Aidilfitri di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Jawa, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh.

Muhammad Zaki berkata, pihaknya bercadang melihat keperluan memberikan tempoh singkat di lampu isyarat di lokasi berisiko sesak ketika musim perayaan bagi melancarkan aliran trafik.

"Kita mungkin pakai kaedah 'green way' (sentiasa lampu hijau) bagi laluan sibuk terutamanya dalam kawasan bandar dengan menempatkan anggota bertugas.

"Selain itu, kita sudah adakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memperbaiki dan menambah baik jalan berisiko kemalangan dan mungkin ada jalan kita lencongkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan perantau merancang perjalanan balik, selain mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan gangguan trafik.

"Saya kira orang yang sama yang akan balik (Kelantan) jadi mereka dah tahu apa kena buat dan mengelak dikenakan saman.

"Kita (polis) tak bangga kalau dapat saman banyak (pesalah jalan raya), tetapi (berbangga) kalau orang ramai boleh patuh undang-undang walaupun tanpa kehadiran penguat kuasa," katanya.

Berita Harian X