Selasa, 26 April 2022 | 3:10pm

Pengurus, penganggur didakwa rasuah juruteknik TNB

MELAKA: Pengurus syarikat pengiklanan dan penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini masing-masing atas empat dan enam pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM95,500 kepada juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Selatan antara Ogos 2021 hingga Januari lalu.

Tertuduh, Tey Boon Sin, 33, dan Leang Tin Sheng, 43, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut empat pertuduhan terhadap Boon Sin, dia dituduh memberi rasuah RM68,500 kepada Juruteknik TNB, Mohd Amir Mohamad, 33, yang bertugas di unit Special Engagement Againts Loses (SEAL) TNB Zon Selatan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya atas kesalahan mengikut Seksyen 37(1) dan 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di empat lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah termasuk di tempat letak kereta Startbuck Coffe, Jalan Kota Laksamana dan di parkir kereta Masjid MITC antara 6 Oktober 2021 hingga 18 Januari lalu.

Tin Sheng pula didakwa dengan enam pertuduhan menyogok individu sama berjumlah RM27,000 bagi mendapatkan maklumat premis diserbu unit SEAL TNB dan sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan atas kesalahan sama mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukannya di beberapa kawasan tempat letak kenderaan dan stesen minyak di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah antara 13 Ogos 2021 hingga 18 Januari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwaraya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat yang melakukan pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 terhadap Boon Sin dan RM10,000 bagi Tin Sheng bagi semua pertuduhan dihadapi, masing-masing.

Peguam Ishak Mohd Kari ketika menyebut bagi peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Boon Sin, merayu wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh memberikan kerjasama sepenuhnya dan akur arahan diberikan serta tidak akan melarikan diri.

Katanya, tertuduh juga menanggung isteri tidak berkerja dan tiga anak masih kecil serta ibu berusia 70 tahun.

Tin Sheng yang tidak diwakili peguam juga meminta wang jaminan dikurangkan kerana tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan masing-masing sebanyak RM15,000 dan RM10,000, selain memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim Elesabet turut memerintahkan kedua-dua mereka melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai dan menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh, Tey Boon Sin, 33, (baju kuning) dan Leang Tin Sheng, 43, (belakang, baju hitam) di mahkamah hadapi tuduhan menyogok juruteknik TNB. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh, Tey Boon Sin, 33, (baju kuning) dan Leang Tin Sheng, 43, (belakang, baju hitam) di mahkamah hadapi tuduhan menyogok juruteknik TNB. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X