Selasa, 26 April 2022 | 1:49pm
Peguam, Muhammad Faizal Mokhtar selepas berjumpa anak guamnya, Sam Ke Ting selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, minggu lalu. - Foto NSTP
Peguam, Muhammad Faizal Mokhtar selepas berjumpa anak guamnya, Sam Ke Ting selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, minggu lalu. - Foto NSTP

Kes basikal lajak: 11 Mei pengurusan kes bagi rayuan kerani wanita

KUALA LUMPUR: Rayuan kerani wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 Mei ini.

Peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting memaklumkan tarikh pengurusan kes itu ketika dihubungi hari ini.

Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron yang akan berlangsung melalui sidang video.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu, yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. -

BERNAMA

Berita Harian X