LIPIS: Pemandu dan kelindan sebuah treler yang membawa muatan besi, maut selepas kenderaan berat terbabas di Kilometer 55, jalan lama Lipis-Merapoh di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.05 pagi itu, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kenderaan mangsa bergerak daripada Kuala Lipis menghala ke arah Merapoh.
"Apabila sampai di lokasi, ketika melalui laluan yang berselekoh dan menuruni bukit di situ, treler terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah bahu jalan sebelah kiri.
"Akibat kejadian itu, pemandu treler, Mohamad Syawal Ahmad Basri, 34, yang berasal dari Kampung Batu 5, Tapah Road, Perak tersepit di tempat duduknya dan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kelindannya, Mohd Faizal Mohd Noor, 35, yang berasal dari Kampong Kemumin, Kota Bharu, Kelantan tercampak ke luar dan maut di tempat kejadian.
Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan COVID-19 diperoleh.
Sementara itu jurucakap Balai Bomba Kuala Lipis berkata, seramai lima anggota dan seorang pegawai dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi dan menggunakan bantuan kren bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah muatan besi.