Selasa, 26 April 2022 | 1:16pm

Dipenjara 15 tahun kerana tetak 4 ahli keluarga

KOTA TINGGI: Seorang pemandu lori dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan mendatangkan cedera parah terhadap empat ahli keluarganya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Hadi Hashim, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Norsiah Ujang.

Mahkamah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dengan dua sebatan bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 20 April lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata parang panjang terhadap ibu mentuanya, Puasa Yasik, 57.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama bagi pertuduhan lain membabitkan isterinya, Norwahida Rosli, 33, adik ipar perempuan, Norwadiha Rosli, 32, dan adik ipar lelaki, Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman, 16.

Dia didakwa melakukan semua perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil, kira-kira jam 7.45 malam pada 14 April lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama di bawah Seksyen 326 (A) Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 326 (A) Kanun Keseksaan boleh dipenjara bagi suatu tempoh dua kali ganda dari tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi, manakala tertuduh diwakili peguam, Nurshuhadah Mahzan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, tertuduh didakwa mencederakan ibu mentua terlebih dulu dengan menekup muka mangsa, sebelum mengambil parang panjang berukuran 79 sentimeter dan menetak kepala mangsa.

Tertuduh turut menyerang adik ipar perempuan yang cuba menolong ibu mentuanya, sebelum menyerang adik ipar lelaki yang ketika itu cuba menghubungi pihak berkuasa serta menyerang isterinya yang bersembunyi di dalam bilik.

Sementara itu, dalam hujah rayuannya, Nurshuhadah memaklumkan tertuduh memohon hukuman penjara diringankan dengan kadar paling minimum dan jika boleh berjalan serentak.

Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca akibat tertuduh yang hilang pertimbangan kerana sering diasak ibu mentua berkaitan wang berjumlah RM4,000.

"Akibat daripada keletihan kerana baru pulang bekerja, tertuduh bertindak sedemikian yang mana adalah perkara yang dikesalinya sebelum menyerah diri secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai pada 20 April," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Irsyad meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana perkara itu membabitkan nyawa, selain faktor kepentingan awam yang lebih mustahak daripada kepentingan peribadi tertuduh.

Mohd Hadi dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah mendatangkan cedera parah ke atas empat ahli keluarganya, pada 14 April lalu. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Mohd Hadi dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah mendatangkan cedera parah ke atas empat ahli keluarganya, pada 14 April lalu. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Berita Harian X