Isnin, 25 April 2022 | 10:57am

Warga emas didakwa seks luar tabii dengan kucing

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kucing pada minggu lalu.

Tertuduh, Janting anak Keling, 63, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Janting didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii iaitu dengan seekor kucing sehingga menyebabkan haiwan itu mati.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah taman permainan di Taman Ungku Tun Aminah di Skudai, kira-kira jam 4.30 pagi pada 16 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya berkata, tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh, namun jika mahkamah mahu menawarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon nilai RM15,000 dikenakan ke atas tertuduh dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran.

Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan berikutan tidak bekerja.

"Saya baru datang ke Johor Bahru dari Sarawak dan tiada pekerjaan. Saya juga menumpang di rumah anak perempuan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan nilai jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Warga emas, Janting anak keling, 63, dibawa ke mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk pendakwaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kucing. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Warga emas, Janting anak keling, 63, dibawa ke mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk pendakwaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kucing. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X