Ahad, 24 April 2022 | 9:16am

Rampas RM2 juta hasil laut, diesel bot warga asing

MERSING: Dua bot nelayan warga asing bersama 21 kru ditahan kerana menceroboh perairan negara bersama 6,000 kilogram hasil laut, 5,500 liter diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai RM2 juta.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan dua bot terbabit kerana menceroboh perairan negara di Kuala Mersing pada jam 10 pagi kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, ia ditahan menerusi rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Khas Pagar Laut dan Op Khas Kuda Laut di kedudukan lebih kurang 62 batu nautika timur laut dari Kuala Mersing.

"Pemeriksaan terhadap 21 kru termasuk tekong kedua-dua bot, warga Vietnam berumur di antara 16 hingga 62 tahun juga gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Semua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut. Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 2 juta," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Khairul Nizam berkata, pihaknya mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Sebarang aduan jenayah segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

Maritim Malaysia menahan dua bot nelayan asing bersama 21 kru warga Vietnam kerana menceroboh di Kuala Mersing, kelmarin. - Foto MARITIM MALAYSIA
Maritim Malaysia menahan dua bot nelayan asing bersama 21 kru warga Vietnam kerana menceroboh di Kuala Mersing, kelmarin. - Foto MARITIM MALAYSIA
Berita Harian X